Saturday, January 10, 2009

+ lulu mahu shopping +

Filled under:

Lokman mundar-mandir. Dari minggu lepas dia nampak resah. Apa yang dibuat serba tak kena. Air suam diteguk terasa masam. Begitu juga mee segera yang jadi makanan rasminya sejak seminggu lalu.

Esok hari kiamat, kata Lokman. Tinggi betul ilmu Lokman padahal sembahyang pun dah 14 tahun dia tak buat. Esok Lokman dah janji nak shoping dengan Lulu. Esok baru 19 haribulan. Gaji lambat lagi. Tak sanggup Lokman makan mee segera lagi sementara menanti gajinya masuk. Kalau tak diturutkan kehendak Lulu, muncungnya semacam perut Lokman yang buncit mee segera. Sayang sangat Lokman kepada Lulu, walaupun Lulu tak pernah pun sayang Lokman sebenarnya. Lokman sekadar dianggap teksi, mesin ATM dan juga kad kredit bergerak Lulu.

Hari ini genap seminggu Lokman berkira-kira. Aset keseluruhan tak henti-henti dicongak. Dalam saku ada Rm20. Ada lagi baki di bank sebanyak Rm300. Masih tak cukup. Lokman teringat duit simpanan kahwinnya sebanyak Rm5000. Tak sampai hati Lokman nak keluarkan hasil titik peluh arwah ibunya itu. Lokman tau benar jadual dan perkiraan shoping Lulu.

Pagi-pagi lagi mahu jemput. Jangan lewat. Nanti Lulu pergi dengan lelaki lain. Sampai-sampai bawa Lulu makan Prosperity. Dah seminggu juga Lulu canang dia mengidam. "Mengidam apa, aku belum buntingkan kau lagi", nakal juga Lokman rupanya. Walaupun memiliki wajah yang agak skema. "Maskara I dah abis la Lokman. Kat sini tak ada stok Maybelline", manja suara Lulu sambil melentokkan kepalanya ke bahu Lokman. Lokman memang lelaki yang mudah cair, selain kurang iman dan pengetahuan. Inilah ciri-ciri lelaki idaman Lulu selama ini.

Perut dah kenyang, Lulu akan mendahului perjalanan seperti serigala. Lokman hanya membontoti sahaja, cucuk angin rapat-rapat. Habis satu kedai, masuk kedai lain. Beg plastik yang dipegang Lokman makin bertambah. Kasut sahaja ada 5 beg. Baru tadi Lulu masuk ke kedai pakaian tidur. 2 pasang dibayar Lokman. Bajunya macam kelambu, boleh nampak semua di dalam pun cecah Rm500. "Lulu mahu berlatih untukku mungkin", Lokman menyedapkan hatinya yang sudah tawar.

Hampir seratus kedai dimasuki Lokman dan Lulu hari itu. Lega hati Lokman, tapi tak lama. "Maaaan, mari kita ke Plaza XYZ. Sana lagi banyak pilihan baju tau", ngeri sekali ajakan itu. "Sini tak banyak pilihan pun, dah dekat seribu kau belanja. Aku pijak juga tengkuk engkau nanti", Lokman tiba-tiba jadi berani melawan Lulu. Tapi dalam hati sahajalah. "Ok sayang, apa sahaja untukmu".

Tangan Lokman ditarik lembut. Indahnya hidup kalau begini hari-hari. Hilang marah Lokman, timbul bahagia. Eh, marah lagi. Lulu dah tarik kerusi di Starbuck. Laju juga dia jalan. Baru tadi tangannya dipegang. "Cis, nyonya rupanya yang pegang aku", marah Lokman. Mungkin kerana nyonya itu tak secantik Lulu. 2 ice blended, kertas merah bertukar tangan. Sambil main-main buih mulut Lulu tak henti menyedut asap Marlboro Light yang dibeli menggunakan duit Lokman. Lokman hanya menganga, dia bekas perokok. Mahu simpan duit untuk kahwin katanya.

Tengah malam baru Lokman sampai rumah selepas hantar Lulu pulang. Badannya letih-letih. Tak ada sesiapa mahu urut Lokman. Lokman sunyi hidupnya. Rumahnya hanya ada peti tv yang usang.

Allahuakbar Allahuakbar. Bunyi azan berkumandang. Lokman terjaga dari mimpinya. Masih dalam kerisauan kerana esok belum ditempuhi lagi. Lokman buka tv mahu tonton berita. Hari ini cerita serangan Israel lagi.

Tiba-tiba Lokman sebak.

Israel bermaharajalela. Ramai tidak berdosa dibunuh. Anak-anak comel hanya tinggal kepala. Ramai isteri jadi janda dan suami jadi duda.

Larangan serangan Phosporus yang diharamkan ke atas penduduk awam tidak dihiraukan.

Lokman sebak. Siapa sangka Allah Maha Pengasih mahu kurniakan Nur pada Lokman hari itu.

Lokman menangis. Terasa dirinya hina tidak berdaya selamatkan sesiapa. Dalam hati Lokman sudah buat ketetapan. Selamatkan dirinya sendiri.

Lokman mahu berubah.Lokman mahu jihad.

Lokman mahu boikot barang-barang Yahudi. Pedulikan apa Lulu mahu. Lulu juga diboikot Lokman.

Hari ini menjadi sejarah. Lokman sembahyang bersejadahkan kain pelekat usang. Nasib baik Lokman masih ingat niat mandi wajib. Lokman berdoa kepada Allah. "Selamatkanlah saudara-saudaraku di Palestin, datangkanlah bala kepada Israel, dan temukanlah aku dengan jodohku", pendek tapi padat doa Lokman.

Hari ini juga menjadi sejarah. Lokman telah menyelamatkan seorang dirinya, duitnya yang sekangkang kera dan mungkin bejuta nyawa tidak berdosa.

3 comments: