Thursday, January 08, 2009

+ hanya tinggal pusara +

Filled under:

Sudah setahun Ali dan Hasni menunggu kelahiran anak mereka yang sulung. Bermula dari sumpahan akad dan janji, hinggalah menerima perkhabaran gembira dari doktor. Segala persiapan telahpun dirancang mereka untuk menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak itu.

Isnin lalu, longlai kedua kaki Ali. Hasni yang pucat sedang terbaring di katil hospital. "Apa salah aku?", beribu kali soalan ini menyinggah ke benak Ali. Seminggu yang lalu, kandungan Hasni masih sihat. Teringat Ali betapa gembiranya Hasni berkata "Bang, kuat nampaknya anak kita menendang. Kuat jalan seperti ayahnya kan". Tak henti-henti Ali menyalahkan dirinya walaupun tidak tahu apa punca, selaju hujan di mata Hasni. Hari itu, doktor mengesahkan bayi mereka mati dalam kandungan. Ya, kandungan yang diusung Hasni sejak 7 bulan yang lalu. 

Ali tahu, sedih hatinya tak dapat dibandingkan dengan isteri tercinta. Segagah mungkin Ali menahan sebak. Tangan Hasni diusap perlahan-lahan. Airmata Hasni disapu dengan penuh rasa sayang. "Sabarlah sayang, ada hikmahnya ujian tuhan ini", itulah antara perkataan yang masih wujud dalam kamus bahasa Ali hari itu. Yang lain hilang kemana, seperti hilangnya harapan Ali bergelar bapa mithali. Mahu juga Ali menyalahkan pihak hospital kerana tidak peka masalah kandungan. Kelewatan tindakan diambil juga menyemarakkan rasa tidak puas hati Ali. Perlahan-lahan sedih ditanggung Ali bertukar menjadi marah. "Kau semua tunggu, akan ku saman seluruh hospital ini. Macam mana kamu semua bekerja? Langsung tidak mencerminkan budaya perkhidmatan cemerlang kakitangan awam", bentak hati Ali lagi. Buat masa ini biarlah semua selesai dahulu. Trauma di hati Hasni lebih utama untuk difikirkan. "Anak boleh bikin lagi, yang penting kau berdua selamat", Ali mengaku kebenaran kata-kata bapa mertuanya itu. Syukur Ali kepada Allah s.w.t kerana Hasni masih di sisinya.

Hari ini, berduyun sanak saudara menziarahi Ali dan Hasni. Tidak ketinggalan rakan sekerja yang hadir menyatakan sokongan mereka. Kandungan Hasni selamat dikeluarkan secara semulajadi walaupun hopsital enggan melakukan pembedahan. Hari ini, hari pengkebumian bayi yang tidak berdosa itu. Ketika semua melangkah pergi meninggalkan kawasan pusara. Tinggal 2 tubuh masih terpaku di situ. Ali dan Hasni,  berpegangan tangan, menatap sayu nisan anak mereka. 

Al-fatihah,

Ali : Virgo sejati. Teliti, tekun dan sabar. Sentiasa berusaha memajukan diri. Selalu melengkapkan kekurangan rakan sekerja, Sang Aquarius sejati.

Hasni : Tidak pernah kurang senyuman. Sentiasa ceria dan mendamaikan.

Li & Has, bersabarlah ujian tuhan ini. Kamu berdua memang bakal ibu bapa yang cemerlang.

* Cerita ini bukan rekaan semata-mata. Ada yang hidup tersentuh kerananya.

3 comments:

  1. saya tak faham, mengapa ada aquarius di sana?

    ReplyDelete
  2. aquarius ialah seorang yang mudah sedih jika ada orang sedih disekitarnya....

    ReplyDelete