Tuesday, March 23, 2010

: hidup ini bagaimana kamu memandangnya

Filled under:

Sepanjang kehidupan ini, tentu banyak yang telah kita tempuhi. Sedih, gembira, benci, sayang, marah ataupun suka pasti kita akan rasai hasil dari sebarang kejadian yang berlaku. Jika umur panjang, banyak lagi perasaan yang akan kita nikmati dalam hidup ini.

Kita sedih lalu menangis, kerana ada yang buat kita kecewa.
Kita gembira lalu tersenyum, ada aksi lucu di situ ataupun hadirnya penghibur hati.
Kita benci lalu mencebik, mungkin tak serasi dengan pemikiran kita.

Tidak pernah ada kejadian baik ataupun kejadian buruk. Yang ada hanyalah kejadian. Apa yang berlaku menjadi sesuatu yang berbeza jika dipandang dari sudut yang lain.

Kita sedih, anggap itu ujian penguat diri di masa hadapan.
Kita gembira, untuk jadi kenangan yang dihargai bila kehilangan.
Kita benci, mungkin jadi inspirasi atau sempadan diri.

Semua yang kita alami atau rasa itu dipengaruhi atau disebabkan oleh faktor luaran yang berada di luar kawalan kita. Sebagai manusia yang lemah, terlalu banyak yang terjadi berada di luar kawalan. Bencana alam, kematian, kelahiran dan lain-lain. Apa yang dapat kita kawal ialah penerimaan mental kita di atas sesuatu kejadian itu.

Kita mampu kawal fikiran sendiri.
Kita mampu kawal bagaimana untuk bertindak dengan pilihan yang ada.

Ini bukan mengenai situasi, tetapi reaksi.

Kita sentiasa ada pilihan dalam hidup. Selalu apa yang kita fikir, mampu jadi kenyataan. Minda separa sedar kita akan menerima apa sahaja yang kita pilih untuk percaya. Sebab itu orang kata penipuan yang berulang akan jadi kenyataan. Bezanya, adakah kita mahu terus ditipu atau jadi bijak dan mula mencari kebenaran. Itupun sudah jadi pilihan untuk kita.
Untuk menjalani kehidupan yang menggembirakan atau menyedihkan bergantung kepada cara kita melihat atau berfikir. Tiada sesiapa pernah rela memilih untuk susah, sedih ataupun sengsara. Tapi bagaimana jika kehidupan kita ditentukan sebegitu? Yang tinggal hanya cara kita memandang dunia. Redha mungkin sepertimana tuntutan agama, tapi bukan dengan redha yang buta tanpa pengertian. Usaha tetap perlu ada untuk mengubah sesuatu itu.

Hari ini kau pandang ia benih yang tiada apa,
esok mungkin jadi pohon tempat kau berteduh.

Dua orang yang berjalan di taman yang sama dan memandang objek yang sama tak semestinya berfikir sesuatu yang sama. Seorang mungkin berjalan dengan riang, memikirkan yang indah. Seorang mungkin hanya memandang kosong tanpa perasaan. Begitulah hidup ini, jika dibiarkan apa yang terjadi samada baik atau buruk berlalu tanpa ada sebarang pengajaran diperolehi pasti ia akan menjadi sia-sia.

Sia-sia menghabiskan usia,
Sia-sia hidup derita.

Orang yang paling beruntung ialah orang yang menjadikan setiap pengalaman menjadi lebih bermakna. Menjadikan buruk kepada lebih baik, menukar racun menjadi penawar.
Cara kita memandang sesuatu itu juga mampu mempengaruhi emosi dan hidup orang lain. Tiada siapa mampu hidup sendirian, begitu juga kita yang banyak (jika tidak,pasti tetap ada) memerlukan kehadiran atau pertolongan orang lain. Pandanglah pengertian hidup itu sendiri dengan maksud yang lebih luas. Hidup bukanlah semata-mata untuk diri sendiri tapi adalah untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Sebagaimana haiwan menjadi sumber makanan,
dan tumbuhan menjadi sumber oksigen.

Hidup ini singkat tapi jangan singkatkan pemikiran kita.

Bergembiralah, semua itu pilihanmu.

6 comments:

  1. "barine likes your entry"

    ala-ala FB, boleh? hehe~

    ReplyDelete
  2. full of meaning. tq for sharing

    ReplyDelete
  3. barines:
    thanx a lot :-)...

    churalliya:
    yeah, farmville rawwwkkkk....

    Anggerek:
    thanx for reading...

    ReplyDelete
  4. nice cik lan...
    =)
    meaningful...

    ReplyDelete
  5. thanx cik yan...untuk kamu juga ye ;-)...

    ReplyDelete