Sunday, February 15, 2009

+ aku yang menjalani valentine yang hangat +

Filled under:

Semalam tanggal 14hb Februari. Tarikh yang dinanti-nantikan oleh pasangan kekasih di seluruh dunia. Tarikh ini merupakan Hari Valentine ataupun hari memperingati kekasih.  Maka untuk mengingati kekasih pelbagai sambutan dilakukan, hadiah bertukar-tangan. 

Seringkali timbul persoalan dalam jiwa memberontak aku, kenapa hari ini perlu untuk mengingati kekasih. Bagi aku, aku lebih gemar mengingati kekasihku pada hari Isnin hingga Jumaat, pendek kata hari-hari. Entah kenapa aku tetap tidak berminat untuk menyambutnya.

Apa yang ingin dikongsi bukanlah bagaimana aku menyambut Hari Valentine semalam. Seperti biasa bagi aku, tiada sambutan dilakukan mahupun ucapan dan hadiah yang aku berikan kepada sesiapa. 

Semalam ada sedikit kelainan bagi aku. Aku membuka hari dan menutup hari dengan seorang gadis yang sama. Adakah sebelum ini aku membuka dan menutup hari dengan gadis yang berlainan? Jawapannya ialah tidak, kataku yang agak alim ini. 

Paginya aku membuka hari dengan bersarapan pancake yang agak sudah lama tidak dinikmati. Aku tidak sangka pancake yang kecil dan comel itu mampu memenuhkan perutku sehingga jam 2 petang. 

Di sebelah malam, aku memenuhi jemputan majlis tahlil Cik Yan 2 bersama dengan Aziz Karim. Selepas menghantar Aziz Karim pulang aku menjemput gadis itu untuk menikmati kopi malam. Kami menghabiskan malam itu dengan melakukan perbincangan ilmiah yang meliputi topik seperti ekonomi, politik, hartanah, pelaburan, sukan dan sejarah tamadun Islam. 

Aku sampai ke rumah tepat jam 4 pagi. Di dalam kemamaian aku itu, aku bertanya satu soalan untuk diri aku sendiri yang menunjukkan aku seorang yang tidak cukup ilmu agama. Alhamdulillah, akhirnya aku memilih jawapan yang betul sebelum tidur.

Aku bangun hari ini jam 11 pagi. Sampai saat ini aku masih kepeningan. Akhirnya baru aku sedar, badan aku panas hari ini. Hangatnya valentine semalam hingga aku demam hari ini.

2 comments: